Bismillah wal hamdulilah serta selawat dan salam buat Rasulullah SAW, yang mengajar kita erti kehidupan, izinkan saya mengucapkan ahlan wa sahlan (Selamat Datang) ke Portal PSK (Pusat Sains Kemanusiaan).

PSK ditubuhkan pada 16 Julai 2019 setelah penstrukturan semula UMPSA. Sebelum ini, PSK berada di bawah satu Pusat Tanggungjawab yang dikenali sebagai PBMSK (Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan). PSK ditubuhkan dengan misi menyediakan pendidikan, penyelidikan, perkhidmatan pembangunan insan holistik bertunjangkan nilai-nilai teras UMPSA kepada komuniti. Manakala visi PSK adalah sebagai Pusat Pembangunan Insan Holistik Termaju menjelang tahun 2025.

Peranan PSK di UMPSA boleh dibahagikan kepada 2 kategori utama, iaitu dalaman dan luaran. Dari sudut dalaman PSK bertekad memastikan mahasiswa UMPSA tidak hanya cemerlang dari sudut akademik semata-mata malah kecemerlangan hakikinya ialah dari sudut insaniah atau soft skills yang menyokong usaha-usaha TVET aras tinggi menjelang tahun 2025.

Dari sudut luaran pula, PSK sentiasa berusaha memberi perkhidmatan sebaik mungkin dalam membantu komuniti setempat, pihak kerajaan tempatan dan pusat serta antarabangsa dalam menawarkan kepakaran yang sedia ada di PSK.

Dr. Mohamad Hilmi Mat Said
Dr. Mohamad Hilmi Mat SaidDekan Pusat Sains Kemanusiaanhilmi@ump.edu.my

Untuk kekal relevan dari segi akademik dan komuniti (masyarakat dan industri) PSK akan terus bekerjasama menyokong hasrat UMPSA dalam melahirkan mahasiswa yang berjaya secara holistik. Ini akan dapat dicapai dengan menjalankan kerjasama 2 hala bersama pihak industri, masyarakat dan kerajaan. PSK berusaha memperkukuhkan pengetahuan mahasiswa UMPSA dengan penawaran subjek-subjek elektif berkaitan isu-isu semasa yang mampu membantu mereka dalam menghadapi cabaran industri 4.0 . Penawaran kursus ini berbentuk Modular, Modular Credential dan Sijil Pengajian Pengkhususan Terbuka (SPPT).

Manakala bidang fokus penyelidikan PSK pula terbahagi kepada 5 bidang pakar (1) Tamadun dan Sejarah (2) Pengajian Islam (3) Pembangunan Kemanusiaan (4) Falsafah dan Pemikiran dan (5) Warisan Pahang. Setiap kumpulan bekerjasama secara meluas dengan rakan kongsi dalam institusi perindustrian dan penyelidikan, yang dibiayai oleh pelbagai sumber. Objektif bidang-bidang penyelidikan di atas adalah untuk bekerjasama dengan pihak-pihak berkaitan dan menjadi sumber rujukan dalam dan luar negara.

PSK juga menawarkan program pascasiswazah di kedua-dua peringkat Sarjana dan PhD mengikut bidang kepakaran staf akademik kami yang lebih berfokuskan bidang Tamadun, Pengajian Islam, Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Akhirnya kami berharap kepakaran kami di Pusat Sains Kemanusiaan boleh dikongsi bersama, untuk membawa manfaat yang lebih besar demi kebaikan keseluruhan masyarakat dan industri. Ini sebagaimana sabdaan nabi saw. “Sebaik-baik manusia ialah yang banyak memberikan kemanfaatan buat manusia lain”